suria

Pemilik Pasar Mini Ditahan Miliki Rokok Seludup

ALOR SETAR: Seorang pemilik pasar mini di Pokok Sena dekat sini ditahan bersama 397 bungkusan rokok putih dan kretek pelbagai jenis bernilai RM6,322 dalam satu serbuan di premis berkenaan pada Rabu.

Komander Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah, Abd Latiff Abd Rahman berkata lelaki berusia 47 tahun itu ditahan selepas anggotanya memeriksa premis kira-kira pukul 11 pagi dan menemui rokok tersebut hasil maklumat orang ramai.

"Nilai cukai rokok tersebut RM34,806.92 dan suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan lebih setahun.

"Rokok yang ditemui itu untuk dipasarkan di kawasan Pokok Sena," katanya kepada pemberita di pejabat UPP Kuala Kedah dekat sini.

Abd Latiff berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang larangan dan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang rampasan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain