suria

PDRM Sentiasa Pantau Aktiviti Pengganas

NIBONG TEBAL: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa menjalankan pemantauan pergerakan dan aktiviti yang mempunyai kaitan dengan keganasan dari masa ke semasa bagi membendung gejala itu terus merebak sama ada di dalam negara mahupun di luar negara.

Pengarah Pasukan Petugas Khas (Operasi/Counter Terrorism) Bukit Aman Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata walaupun Malaysia kini berada dalam keadaan selamat dan aman tetapi pasukan polis sentiasa berjaga-jaga dan melakukan pemantauan.

"Polis sentiasa memantau aktiviti kumpulan pengganas ini walaupun keadaan aman ketika ini kerana air yang tenang jangan sangka tiada buaya," katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkembangan semasa berhubung kegiatan kumpulan pengganas di negara ini.

Beliau sebelum itu telah melawat Pasar Awam Taman Berjaya di sini sempena program high profile policing. Turut hadir dalam lawatan itu ialah Penyelaras Barisan Nasional (BN) kawasan Dewan Undangan Negeri (Kadun) Jawi Tan Cheng Liang di sini Rabu.

Mohamad Fuzi berkata kegiatan pemantauan pergerakan dan aktiviti kumpulan pengganas ini juga tidak terhad hanya di Malaysia tetapi juga melibatkan kawasan sempadan dan beberapa negara jiran seperti Indonesia dan Filipina.

"PDRM juga sentiasa menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi khususnya pihak imigresen dan beberapa agensi antarabangsa, dan ada ketikanya kita akan ketatkan kawalan, kita mahu negara kita selamat dan rakyat rasa selamat untuk bergerak," katanya.

Beliau menegaskan pihak PDRM sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan aktiviti kumpulan pengganas terus menular sehingga boleh mengancam keamanan negara.

"Kita tidak boleh rasa selesa sangat dan tugas ini juga adalah tanggungjawab bersama antara polis dan masyarakat setempat bagi melaporkan apa sahaja aktiviti yang menimbulkan kecurigaan," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain