suria

Mayat Wanita Ditemui Dalam Longkang Dekat Kompleks Mahkamah Sungai Petani

SUNGAI PETANI: Mayat seorang wanita, dipercayai dibunuh, ditemui dalam keadaan terlentang di atas sebuah motosikal dalam longkang di tepi Jalan Persiaran Ambangan Heights berhampiran Kompleks Mahkamah Sungai Petani, di sini Rabu.

Mayat M. Revathi, 23, pemilik butik perkahwinan Rakshata Bridal House di Taman Ria di sini, ditemui pada pukul 7.30 pagi oleh orang ramai dalam keadaan lengkap berpakaian dan dengan kesan kecederaan parah di leher dan dada.

Bapa saudara wanita itu, N. Subrayam, 53, berkata Revathi tidak pulang ke rumahnya di Taman Arked sejak malam tadi dan anggota keluarga telah melancarkan gerakan mencarinya.

"Biasanya dia akan balik ke rumah di Taman Arked kira-kira pukul 10.30 malam iaitu selepas selesai mengikuti kelas andaman di Taman Sejati Indah.

"Tapi malam tadi dia tidak pulang menyebabkan ahli keluarga keluar mencari," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini Rabu.

Subrayam yang merupakan Setiausaha Parti Progresif Rakyat (PPP) Negeri Kedah berkata mengesyaki sesuatu tidak diingini berlaku, bapa Revathi membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda pada pukul 2 pagi.

Beliau berkata mereka menerima panggilan daripada polis pada pukul 8.15 pagi ini memaklumkan mengenai penemuan mayat anak saudaranya itu.

Subrayam berkata setahu beliau anak saudaranya itu tidak pernah berselisih faham dengan sesiapa atau terlibat dalam percintaan.

"Dia seorang budak yang baik dan baru sahaja membuka perniagaan kira-kira dua bulan lepa," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hashim Ali ketika ditemui mengesahkan penemuan mayat itu.

"Berdasarkan siasatan awal, terdapat beberapa kesan luka pada leher dan dada mangsa. Siasatan akan dibuat dari pelbagai sudut bagi mengenal pasti punca kejadian," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain