suria

Kanak-Kanak Dua Tahun Meninggal Dunia Dipercayai Didera Ahli Keluarga

GOMBAK: Kes penderaan melibatkan kanak-kanak semakin menjadi-jadi apabila terbaru, seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia dipercayai didera ahli keluarganya.

Kanak-kanak perempuan itu hanya berusia dua tahun.

Dia dikejarkan ke unit kecemasan Hospital Selayang pada Selasa oleh ibu bapanya selepas kanak-kanak malang itu didapati tidak sedarkan diri di rumah mereka di Pangsapuri Seri Selayang, Taman Prima Selayang di sini.

"Kanak-kanak perempuan itu dibawa ke sini pada pukul 5.26 pagi tetapi disahkan meninggal dunia kerana tidak bernafas dan jantungnya terhenti," kata Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah.

Abdul Rahim berkata, doktor bertugas mendapati ada beberapa kesan lebam di tangan, kaki dan muka kanak-kanak perempuan itu selain parut di dada kiri dan paha kanannya.

Susulan itu, seorang pakar perubatan wanita membuat laporan polis pada pukul 8.05 pagi.

Keputusan bedah siasat oleh Hospital Kuala Lumpur pada pukul 2 petang mendapati punca kematian kanak-kanak itu adalah disebabkan peritonitis (usus pecah).

Terdapat beberapa kesan kecederaan di dubur mangsa dipercayai mungkin diliwat.

Kanak-kanak itu dipercayai dijaga oleh nenek dan pak ciknya.

"Kami sedang menyiasat kes ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan akan mereman nenek dan pak cik mangsa esok," katanya, Selasa.

Ibu mangsa yang berusia awal 20-an berkata, dia mendapati anaknya tidak menunjukkan sebarang reaksi balas ketika cuba menyusukannya kira-kira pukul 5 pagi sebelum membawanya ke hospital.

Dia bekerja sebagai penyanyi di sebuah kelab malam manakala suaminya seorang jurujual.

Mereka mempunyai empat lagi anak.

"Anak sulung kami berada di bawah jagaan ibu saya di Pulau Pinang manakala yang lain sering ditinggalkan dengan ibu mertua saya," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain