suria

Insentif Pelaburan Baru Akan Diumum - PM

KUALA LUMPUR: Satu siri insentif pelaburan akan dilaksanakan untuk menjadikan Malaysia lebih menarik bagi pelaburan langsung asing, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya akan mengumumkan satu siri insentif pelaburan dari masa ke semasa untuk menarik lebih ramai pelaburan langsung asing dan mewujudkan tarikan untuk para pelabur di Malaysia," katanya ketika berucap pada mesyuarat agung tahunan ke-66 Gabungan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Malaysia (ACCCIM) di sini, Rabu.

Najib yang juga Menteri Kewangan memberitahu, kajian terbaru oleh Institut Pengurusan Pembangunan meletakkan ekonomi Malaysia di ranking ke-14 paling berdaya saing di dunia, mengatasi Australia, United Kingdom, Korea dan China.

"Saya menggesa anda semua sebagai usahawan Cina di negara ini untuk meningkatkan pelaburan domestik dan memanfaatkan kenalan di peringkat tertinggi untuk melonjakkan pelaburan masyarakat Cina di Malaysia.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan masyarakat Cina mengenai kepentingan kestabilan politik bagi sesebuah negara maju.

"Jika terdapat satu pengajaran kita boleh belajar daripada krisis di Eropah, kemerosotan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan situasi di Afrika Utara, kita perlu menimbulkan keyakinan perniagaan dan pasaran.

"Salah satu kunci utama adalah soalan kepada ketentuan dan kestabilan politik dan ia merupakan faktor penting," katanya.

Beliau berkata, sebarang bentuk ketidakstabilan politik akan memberi risiko kepada komuniti yang menjalankan perniagaan.

Katanya, risiko itu akan menyebabkan kos pinjaman meningkat, susut nilai saham dan pelaburan asing ke negara ini turut terjejas.

"Anda perlu bekerja keras untuk mengumpul aset dan kekayaan tetapi ia boleh terjejas dan lenyap jika kita tidak bersatu hati untuk menjamin kestabilan politik di negara ini," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain