suria

'Geng Auni', Samun Di Lampu Isyarat Berjaya Ditumpaskan

KUALA LUMPUR : Polis menumpaskan kumpulan samun dikenali 'Geng Auni' apabila menahan kesemua lapan anggotanya termasuk empat orang yang pernah ditahan di bawah Akta Ordinan Darurat, di Segambut dan Damansara pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata kumpulan berkenaan dikesan kembali aktif menjalankan kegiatan samun dengan modus operandinya menyamun mangsa dalam kereta ketika berhenti di lampu isyarat.

"Empat anggota kumpulan itu yang baru dua bulan dibebaskan telah merekrut empat lagi anggota baru untuk melakukan jenayah samun itu sejak Mei yang melibatkan 16 kes samun seumpama itu.

"Kesemua mereka yang ditahan berumur antara 20 dan 30 tahun. Tangkapan pertama dibuat pada 5.30 petang Ahad lepas melibatkan ketua kumpulan tersebut ketika suspek menaiki motosikal jenis Honda EX5 di sebuah stesen minyak di Segambut," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Ekoran tangkapan itu, tujuh lagi anggota kumpulan itu ditahan pada hari sama di sebuah rumah di Damansara yang dijadikan lokasi penyimpanan barang-barang samun.

Zakaria berkata polis turut merampas pelbagai barangan berharga milik mangsa antaranya beg tangan, barangan kemas dan telefon bimbit serta beberapa palam pencucuh yang digunakan untuk memecahkan cermin kereta mangsa.

Katanya polis turut merampas tiga motosikal jenis Yamaha 125, Yamaha Evo serta Honda EX5 yang digunakan untuk menjalankan aktiviti samun tersebut di Ampang dan Mont Kiara.

Beliau berkata modus operandi geng terbabit ialah dengan memecah cermin kereta mangsa yang kesemuanya wanita, di lampu isyarat sebelum melarikan beg tangan mangsa menggunakan motosikal.

Katanya kesemua suspek ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana merompak secara berkumpulan dan Seksyen 397 kanun yang sama kerana merompak menggunakan senjata. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain