suria

Tiga Lelaki Dipercayai Terbabit Dalam Dua Kejadian Samun

KUANTAN: Polis percaya kejadian samun di Temerloh dan Raub dilakukan tiga lelaki dari kumpulan yang sama dalam tempoh kira-kira dua jam pada Isnin, mengakibatkan kerugian RM35,000.

Dalam kejadian pertama, seorang pemandu teksi terpaksa menerima lima jahitan di dua jari kirinya akibat terkena parang ketika bergelut dengan salah seorang suspek yang menceroboh rumah ibunya di Taman Setia Lanchang, Temerloh.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, mangsa, 43, bersama isterinya, 42, dan ibunya, 60, sedang berbual-bual sebelum tiga lelaki memanjat pagar rumah sebelum meluru masuk ke rumah.

Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang ASP Noor Asyikin Shamsuri berkata tiba-tiba salah seorang suspek terbabit mengacu parang dileher mangsa dan mengarahkan mereka berkumpul di ruang tamu dan mengeluarkan barang-barang berharga.

Suspek kemudiannya turut menggugut mahu menetak mangsa sekiranya mereka tidak menurut arahannya sebelum mangsa bertindak melawan dan bergelut dengan suspek terbabit sebelum mengalah dan menurut arahan suspek," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Selasa.

Katanya, suspek kemudiannya mengambil dompet dan telefon bimbit mangsa sebelum mengarahkan mangsa dan isterinya duduk di dalam tandas sebelum menyuruh ibu mangsa membuka pintu bilik tidur utama dan mengurung ibu mangsa di dalam tandas.

Apabila dapat melepaskan diri, mangsa mendapati barang kemas, telefon bimbit, permit dan insurans teksi serta wang tunai lesap, dengan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM33,100.

Kira-kira dua jam sebelum kejadian itu, seorang suri rumah yang sedang menyapu sampah di halaman rumahnya di Taman Raub Jaya, dekat Raub turut disamun tiga lelaki. Akibat ketakutan, mangsa, 45, terus melarikan diri ke dalam rumah sambil diekori sebelum salah seorang suspek menolaknya lalu mengacukan parang ke leher mangsa, katanya.

Noor Asyikin berkata, suspek menarik rantai leher bernilai RM2,000 yang dipakai mangsa sebelum melarikan diri.

Beliau berkata pihak polis percaya kedua-dua kejadian ini dilakukan oleh penjenayah yang sama berdasarkan keterangan mangsa terbabit.

"Pihak polis turut mengedarkan fotofit suspek. Orang ramai yang mempunyai maklumat bolehlah berhubung dengan Inspektor Mohd Zaidi Zaini di talian 09-2961222/019-7562820 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain