suria

Susu Rumusan Bayi Tercemar Merkuri Tidak Diimport Ke Malaysia

KUALA LUMPUR: Susu rumusan bayi keluaran syarikat Inner Mongolia Yili Industrial Group Co dari China yang dikesan tercemar dengan merkuri tidak diimport ke negara ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman.

Beliau berkata ini disahkan melalui data import dari tahun 2010 sehingga kini yang diperoleh melalui Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM).

Kedutaan China di Malaysia juga telah mengesahkan bahawa susu rumusan bayi itu tidak dieksport ke Malaysia, katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

Bagaimanapun, Dr Hasan berkata sebagai langkah berjaga-jaga, kementerian mengenakan tindakan "Pemeriksaan Tahap Lima Tahan Uji dan Lepas" terhadap susu keluaran syarikat berkenaan sekiranya diimport, berkuatkuasa 15 Jun.

Baru-baru ini, beberapa akhbar tempatan dan luar negara melaporkan tentang hasil pemantauan The General Administration of Quality Supervision, Inspection and Quarantine (AQSIQ) yang mendapati beberapa susu rumusan bayi jenama 'Quan You' keluaran syarikat itu dikesan tercemar dengan merkuri.

Pihak syarikat Inner Mongolia Yili Industrial Group Co. juga mengesahkan bahawa produk terbabit akan ditarik balik daripada pasaran.

Secara amnya, Dr Hasan berkata pendedahan kepada merkuri pada kadar yang tinggi boleh memberikan kesan kepada kesihatan iaitu mengganggu sistem saraf dan buah pinggang.

Seksyen 13, Akta Makanan 1983 memperuntuk mana-mana pihak yang terlibat mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang mengandungi bahan beracun, merosakkan atau memudaratkan kesihatan, dianggap melakukan kesalahan, katanya.

Beliau berkata jika disabitkan kesalahan, pihak terlibat boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya.

"Pengguna tidak perlu khuatir kerana kementerian sentiasa menjalankan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan ke atas isu-isu yang berhubung dengan keselamatan makanan bagi memastikan kesihatan orang ramai sentiasa terjamin.

"Sekiranya berasa ragu-ragu dengan status keselamatan susu rumusan bayi di pasaran tempatan, pengguna boleh membuat laporan kepada kementerian melalui Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat," katanya.

Selain itu, pengguna juga boleh membuat laporan melalui laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di http://fsq.moh.gov.my/v3. - BERNAMA

Artikel Lain