suria

Lelaki Ditahan Miliki Pistol

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan seorang lelaki dan merampas sepucuk pistol jenis Beretta Cardone yang dipercayai miliknya di Jalan Maju Jaya, di sini Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Azman Abd Lah berkata senjata api itu dipercayai dibeli dari negara jiran dan lelaki terbabit tidak mempunyai lesen pemilikan senjata api.

Katanya lelaki berusia 22 tahun itu ditahan sepasukan polis pada 12 tengah malam dalam satu rondaan biasa di kawasan berkenaan.

"Polis ternampak lelaki terbabit dalam keadaan mencurigakan sebelum dia cuba melarikan diri dengan keretanya jenis Volkswagen Scirocco dan setelah ditahan untuk pemeriksaan, polis menemui sepucuk pistol terselit dipinggangnya bersama 15 biji peluru," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Azman berkata hasil siasatan awal mendapati lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan dia ditahan reman sehingga Rabu untuk siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Pada perkembangan lain, Azman berkata kes kecurian basikal masih menjadi penyumbang terbesar kepada kes jenayah indeks di daerah Seberang Perai Tengah iaitu 45.9 peratus.

Katanya kes curi basikal itu bagaimanapun menunjukkan penurunan iaitu 571 kes sehingga Jun tahun ini berbanding 624 kes pada tahun lepas.

Beliau berkata polis juga sedang mengambil tindakan serius untuk membanteras kegiatan perjudian haram di daerah berkenaan yang dikatakan semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

"Pada tahun lepas kita membuat tangkapan 178 kes dengan rampasan 1,952 mesin perjudian. Untuk tahun ini, kita telah membuat tangkapan 254 kes dan merampas 2,787 mesin perjudian," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain