suria

Bahan Buangan Perlu 'Dihantar Keluar' Jika Lynas Gagal Kemuka Hasil Penyelidikan Residu - PSC

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) mengenai Projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) memberitahu, bahan buangan bagi projek itu perlu 'dihantar keluar' sekiranya syarikat Lynas gagal mengemukakan hasil penyelidikan berhubung residu yang dihasilkan kilang itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, syarikat itu perlu mengemukakan hasil itu dalam tempoh 10 tahun selepas lesen pengendalian sementara (TOL) dikeluarkan.

"Apabila tol dikeluarkan, (mereka) ada 10 bulan dan selepas itu kena beri penjelasan mengenai residu.

"Jika mereka gagal atau kami (kerajaan) tidak berpuas hati mengenainya, mereka perlu menghantarnya keluar," katanya.

Khaled berkata demikian pada sidang media selepas pembentangan di Dewan Rakyat pada Selasa yang memaklumkan bahawa PSC mengesyorkan lesen pengendalian sementara (TOL) dikeluarkan kepada Lynas berikutan projek LAMP telah memenuhi keperluan standard dan perundangan yang ditetapkan.

Syor yang dibuat oleh PSC yang mencadangkan supaya Lynas mengemukakan hasil penyelidikan berhubung residu Syor PSC itu mencakupi pengkitaran semula, pengurangan sisa, penggunaan dan pengkomersial residu tersebut.

Khaled berkata, berdasarkan fakta-fakta saintifik dan maklumat yang diperoleh daripada pakar-pakar, projek LAMP merupakan kilang kilang kimia yang menghasilkan nadir bumi dan bukannya loji nuklear atau aktiviti perlombongan.

"Jawatankuasa mengesyorkan supaya kesemua 31 syor yang telah dikemukakan ini dilaksanakan sewajarnya," katanya.

Khaled turut menegaskan bahawa jawatankuasa tersebut tidak menerima bulat-bulat berhubung isu tersebut daripada pihak Lynas.

"Kami menerima 16 pakar dari dalam dan luar negara, daripada universiti-universiti awam negara dan agensi nuklear msia.

"Jawatankuasa diberi mandat selama tiga bulan untuk meneliti isu-isu yang dibangkitkan oleh rakyat serta isu kesihatan dan alam sekitar," katanya.

PSC mengesyorkan satu jawatankuasa pemantauan dibentuk bagi memantau secara berterusan operasi LAMP.

Antara 31 syor PSC adalah supaya satu peratus perbelanjaan R&D daripada jualan syarikat setiap tahun yang disyaratkan, pemantauan dipertingkatkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), pemantauan berterusan terhadap aras sinaran dan menyediakan akses kepada semua pihak bagi mendapatkan maklumat dan data pemantauan.

Artikel Lain