suria

Sindiket Edar Dadah Tumpas, Polis Rampas Eramin 5 Bernilai RM5.4 Juta

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket mengedar dadah eramin 5 yang aktif di sekitar Lembah Klang sejak enam bulan lepas dengan nilai rampasan berjumlah kira-kira RM5.4 juta serta tertangkapnya enam anggota sindiket itu.

Enam suspek, empat lelaki dan dua wanita berumur antara 20 tahun hingga 40 tahun ditahan dalam dua serbuan di kawasan apartmen di sini dan Damansara serta Petaling Jaya 31 Mei lepas.

Pengarah Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim dalam sidang media di sini hari ini berkata polis turut merampas 44,930 pil eramin 5 bernilai RM898,600 dalam dua serbuan tersebut.

Susulan itu pasukan polis menyerbu pula sebuah rumah kedai di Taman Pinggiran Senawang, Negeri Sembilan yang dipercayai dijadikan setor penyimpanan dadah berkenaan oleh sindiket pada Khamis lepas.

Pada serbuan itu polis merampas 225,500 biji pil eramin 5 bernilai RM4.5 juta.

Noor Rashid berkata polis tidak menemui sebarang makmal untuk memproses dadah tersebut kerana kesemua dadah itu telah dibungkus.

"Kita masih menyiasat dari mana dadah itu diperolehi," katanya sambil menegaskan kerjasama daripada orang ramai amat dialukan untuk membanteras penyalahgunaan dadah yang menjadi musuh negara.

Beliau berkata kesemua suspek telah ditahan dan didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain