suria

Polis Tahan Dua Lelaki, Rampas 59 Ketulan Mampat Ganja

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menahan dua lelaki dipercayai pengedar dadah dan merampas 59 ketulan mampat ganja seberat 59.10 kilogram bernilai RM177,000 di Sungai Dua, Butterworth tengah hari semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supt S. Batumalai berkata hasil risikan selama dua minggu, polis menjejaki dua lelaki mencurigakan yang sedang memunggah sesuatu dari sebuah kawasan belukar.

"Kedua-dua lelaki terbabit kelihatan sibuk memasukkan beberapa guni dan kotak yang dipercayai berisi ganja ke dalam sebuah kereta," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata setelah menahan kedua-dua lelaki itu, polis menemui 59 ketulan mampat ganja yang sebahagiannya telah dimasukkan ke dalam bonet kereta.

Katanya hasil siasatan awal polis mendapati pengedaran ganja itu dijalankan sindiket bagi pasaran tempatan serta untuk diedarkan ke selatan Semenanjung.

Batumalai berkata kes itu adalah rampasan terbesar tahun ini membabitkan dadah jenis ganja. Beliau berkata polis mendapati aktiviti pengedaran ganja kembali aktif sejak setahun lepas.

Katanya lelaki berusia 30 dan 39 tahun itu direman sehingga Ahad depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain