suria

Polis Rampas Dadah RM26.6 Juta

KUALA LUMPUR: Polis merampas pelbagai jenis dadah sintetik bernilai RM26.6 juta dan menahan tujuh anggota sindiket dadah itu dalam beberapa serbuan sejak dua minggu lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata serbuan yang dilakukan oleh pihaknya dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen di seluruh negara menumpaskan pengedaran dadah sintetik untuk pasaran tempatan dan antarabangsa termasuk syabu, eramin 5 dan ecstasy.

Beliau berkata polis menumpaskan pelbagai sindiket pengedaran dadah di Johor, Selangor, Negeri Sembilan dan Lembah Klang sejak 31 Mei sehingga 14 Jun lalu.

"Tujuh orang termasuk dua wanita yang ditahan itu, berumur antara 20 dan 40 tahun telah ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Katanya kejayaan pertama adalah pada 31 Mei lepas apabila polis menahan empat lelaki dan dua wanita tempatan dan merampas 44,930 biji pil Eramin 5 bernilai RM900,000 dalam serbuan di dua buah rumah iaitu di Kepong dan Bandar Seri Damansara, di sini.

Noor Rashid berkata polis juga menemui sejumlah 270,000 biji pil dadah, dipercayai pil ecstasy dan syabu, bernilai RM17 juta di sebuah kilang makanan sejuk beku, yang dijadikan makmal memproses dadah di Kawasan Perindustrian Baru Pekan Nenas, dekat Pontian, Johor, selepas kilang berkenaan mengalami kebakaran, pada 11 Jun lepas.

Beliau berkata sehingga kini polis masih memburu enam lelaki anggota sindiket itu.

Kejayaan seterusnya, katanya, ialah pada 14 Jun lepas polis menemui enam kilogram syabu bernilai RM3.8 juta di dalam sebuah apartmen yang terbakar di Damansara, Petaling Jaya, dekat sini dan polis masih memburu penyewanya.

Beliau berkata pada hari yang sama juga polis telah menyerbu sebuah rumah kedai di Taman Pinggiran Senawang, Negeri Sembilan, yang dipercayai dijadikan setor penyimpanan dadah dan merampas 225,500 biji pil eramin 5 bernilai RM4.5 juta.

Bagaimanapun tiada tangkapan dibuat.

"Terbaru seorang lelaki warga Nigeria, Afrika berusia 35 tahun telah ditahan polis di Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana cuba menyeludup dadah syabu dengan menelan 99 biji kapsul dadah itu, yang seberat 1.653 kilogram, benilai RM300,000," katanya sambil menambah lelaki itu kini ditahan reman sehingga 21 Jun ini.

Beliau berkata lelaki berbadan atlet itu telah dikesan melalui pemeriksaan x-ray setelah beliau menelan pil berkenaan dan polis telah mendapatkan kesemua pil tersebut.

Katanya siasatan polis mendapati lelaki itu menaiki pesawat dari Dubai untuk menyeludup dadah berkenaan ke negara ini dan menurut rekod Jabatan Imigresen, beliau telah dua kali datang ke Malaysia. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain