suria

Rangka Manusia Ditemui Dalam Perigi Di Jasin

JASIN: Misteri kehilangan penjaga tokong sejak 23 Disember tahun lalu terjawab dengan penemuan rangka manusia di dalam perigi sedalam enam meter di Tokong Lan Nam Xuen, Kampung Pondok Batang, Sempang Bekoh, di sini Jumaat.

Ketua Unit Pasukan Penyelam Negeri, Arshad Mail berkata, kerja mencari mangsa, Gan Kong Hwa, 61, yang disertai 20 anggota bomba dan penyelamat Unit Pasukan Penyelam Negeri termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Jasin itu memakan masa sejam dan berakhir dengan penemuan rangka manusia kira-kira 1.30 tengah hari.

“Kita memulakan operasi dengan mengepam air perigi tersebut sebelum operasi mengeluarkan rangka dapat dilakukan di mana kita berhasil menemui tengkorak kepala, paha, tulang kaki, selangka termasuk beberapa bahagian belakang badan yang dipercayai milik mangsa,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superitendan Shahidi Abdullah turut mengesahkan kejadian ketika dihubungi pemberita di sini.

Rakan mangsa, Lee Tat Kong, 52, yang membuat laporan polis berhubung penemuan barangan milik mangsa berhampiran perigi tersebut pagi tadi berkata, dia mengesyaki sesuatu apabila mendengar nyalakan anjing berhampiran perigi yang tidak digunakan itu pada Rabu lepas kira-kira 3 petang.

Lee berkata, dia kemudiannya menghampiri perigi tersebut dan menjumpai seluar, telefon dan kasut milik mangsa sebelum membuat laporan polis pada Jumaat kira-kira jam 9.40 pagi.

"Saya berasa amat terkejut dengan penemuan barangan milik yang menjawab misteri kehilangan mangsa selama kira-kira enam bulan," katanya kepada pemberita yang ditemui di sini, Jumaat.

Beliau berkata, satu laporan berhubung kehilangan mangsa turut dilakukan ahli keluarganya pada 12 Januari selepas mangsa gagal ditemui. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain