Pemandu Maut, Empat Cedera, Seorang Parah Dalam Kemalangan - Semasa | mStar

Pemandu Maut, Empat Cedera, Seorang Parah Dalam Kemalangan

IPOH: Seorang terbunuh, empat lagi cedera seorang daripadanya parah, apabila kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Km 379.9 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Slim River pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superitendan Othman Nanyan berkata, mangsa yang terbunuh pemandu kereta M. Loganathan, 31, manakala yang cedera parah dikenali sebagai Nawaras, 23.

Loganathan yang mengalami cedera parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat, katanya.

Othman berkata, Nawaras dirawat di hospital yang sama, manakala tiga lagi mangsa yang cedera ringan dirawat sebagai pesakit luar. Kesemua mereka berasal dari Teluk Intan.

Kejadian berlaku ketika mereka dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Teluk Intan apabila kereta jenis Proton Perdana itu gagal dikawal lalu terbabas dan merempuh pembahagi jalan, katanya.

Akibat kejadian itu kereta tersebut remuk teruk dan Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Artikel Lain