Guru KAFA Patah Tangan Akibat Diragut Penunggang Motosikal - Semasa | mStar

Guru KAFA Patah Tangan Akibat Diragut Penunggang Motosikal

KUALA TERENGGANU: Seorang guru kelas Agama Fardhu Ain (KAFA) patah tangan kiri akibat diragut dua penunggang motosikal di Kampung Seberang Baruh malam Jumaat.

Nor Azlina Mat Jusoh, 38, turut malang apabila kehilangan duit gaji kira-kira RM500 yang disimpan untuk membayar sewa rumah, ansuran motosikal dan keperluan lain.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, dia sedang menunggang motosikal apabila dihimpit dua penunggang berkenaan yang menunggang sebuah motosikal Honda Ex-5 sebelum mereka merampas beg tangannya yang diletakkan di dalam raga motosikalnya.

"Saya memang tidak mengesyaki apa-apa dengan tindakan mereka mendekati saya kerana ketika itu jalan agak sibuk. Mereka memakai topi keledar menutup muka yang datang dari arah belakang dan terus mengambil beg tangan saya.

"Naik marah dengan tindakkan itu, saya bertindak mengejar mereka, namun saya terjatuh ketika membuat pusingan U berhampiran tempat kejadian," katanya.

Nor Azlina berkata para peragut berkenaan terus memecut motosikal mereka sementara dia dibantu orang ramai dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Dia yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Kubang Ikan di sini berkata kejadian ragut itu merupakan kali kedua dialaminya selepas 10 tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Zamri Samsuddin mengesahkan kejadian itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Enam Kawasan Catat IPU Tidak Sihat

Artikel Berkaitan

Artikel Lain