suria

Program Transformasi Kerajaan Merangkumi Pembangunan Umat Islam

GEORGE TOWN: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata program tranformasi yang sedang dijalankan kerajaan sekarang ini turut merangkumi pembangunan Islam secara holistik.

Beliau berkata apa yang dilakukan sekarang bukan semata-mata pembangunan ekonomi dan sosial tetapi turut merangkumi usaha meningkatkan syiar Islam.

"Saya nak nyatakan dalam konteks Islam, dikatakan Islam itu Addin iaitu merangkumi semua perkara termasuk pembangunan umat Islam, pembangunan secara holistik dan keseluruhannya.

"Kita tidak sebut tranformasi Islam sebaliknya apa yang terkandung dalam tranformasi itu adalah sejajar dengan tuntutan Islam. Contohnya usaha mewujudkan peluang pekerjaan ini merupakan usaha kerajaan membangunkan umat Islam.

"Tidak perlulah kita labelkan ia sebagai tranformasi Islam kerana umat Islam akan dilihat maju jika dia maju dalam semua aspek," katanya pada majlis perjumpaan badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu di Dewan Tunku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM), di sini, Sabtu.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab soalan salah seorang wakil NGO Mohamed Hafiz Noordin yang bertanya mengenai program tranformasi kerajaan khususnya untuk pembangunan umat Islam.

Muhyiddin juga berkata mengikut peruntukan undang-undang yang ada, kerajaan boleh mengambil sebarang tindakan terhadap penganjur perhimpunan yang bertujuan menimbulkan suasana huru hara.

"Kita mesti rasional kerana setiap apa yang kita lakukan mestilah berasaskan undang-undang, bukan mudah untuk mengatasi masalah demonstrasi...biarlah institusi kehakiman buat keputusan terhadap mereka.

"Saya pun geram (demonstrasi) tetapi saya percaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) bekerja keras untuk menanganinya," katanya ketika menjawab pertanyaan mengenai tindakan kerajaan terhadap penganjur dan peserta perhimpunan Bersih. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain