suria

PM Lulus Pinjaman RM235 Juta Bina Loji Rawatan Air Baru Di Keningau

KENINGAU: Datuk Seri Najib Tun Razak, pada Sabtu mengumumkan bahawa kerajaan Persekutuan meluluskan pinjaman berjumlah RM235 juta kepada kerajaan negeri Sabah untuk membina sebuah loji rawatan air baharu untuk manfaat kira-kira 200,000 penduduk Keningau.

Perdana Menteri berkata pada masa ini segala dokumen mengenainya sedang disiapkan dan projek berkenaan akan dilaksanakan sebaik sahaja proses penyediaan dokumen berkenaan selesai.

"Saya datang ni bukan dengan tangan kosong. Saya datang kerana beberapa bulan kebelakangan ini, pemimpin Sabah minta saya buat sesuatu untuk Keningau. (Timbalan Ketua Menteri) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan mencadangkan dan disokong oleh Datuk Seri Musa Aman sebagai Ketua Menteri Sabah.

"Setiap kali saya naik helikopter dengan Pairin dan Musa, dia sebut itu sahaja (kepada saya). Saya kata, tunggulah, bila saya datang ke Keningau, saya akan buat pengumuman," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pusat Kraftangan Sabah di sini, Selasa.

Menurut Najib, projek berkenaan antara lain melibatkan pembinaan lima tangki simpanan serta paip transmisi sejauh 42.8 kilometer dan akan mengambil masa 35 bulan untuk disiapkan.

Najib berkata projek yang fokus kepada golongan sasar yang begitu besar itu adalah contoh kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan yang boleh menterjemahkan keputusan meskipun melibatkan perkara besar.

Menurut Najib pinjaman berkenaan juga membuktikan kemampuan kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) untuk menerajui kepimpinan negara untuk masa depan negara dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, apa yang dilakukan kerajaan BN berbeza dengan pembangkang kerana apabila kerajaan melaksanakan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan ada cadangan supaya dilaksanakan BR1M 2, pembangkang pula sibuk menganjurkan Bersih 2, 3.

Najib berkata apabila pembangkang membuat kerosakan dengan berdemonstrasi di jalan raya, kerajaan BN pula melaksanakan kerja amal dan berharap rakyat sendiri akan menilai perbezaan ini dan akan membuat keputusan tepat dalam memilih sesuatu kerajaan.

Sehubungan itu, Najib yakin Sabah masih simpanan tetap kepada BN dan mengajak rakyat supaya terus bersatu menyokong kerajaan yang memerintah hari ini serta mengelak sebarang bentuk perbalahan.

Mengenai Pusat Kraftangan Sabah di Keningau itu, Najib berkata ia dibangunkan oleh kerajaan Sabah melalui Yayasan Sabah dengan kos RM30 juta manakala peralatan seperti mesin dan kemudahan latihan adalah sumbangan kerajaan Persekutuan berjumlah RM20 juta.

Katanya projek berkenaan juga merupakan satu contoh kesan hubungan erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan dalam bentuk saling bantu membantu dalam menyediakan latihan dan pembelajaran sempurna untuk mengangkat seni dan kreativiti rakyat Sabah sehingga ke persada antarabangsa.

Najib berkata Sabah memiliki nilai kesenian dan kreativiti yang tinggi dan kerajaan tidak mahu melihat kelebihan yang dimiliki rakyat Sabah terhenti setakat peringkat kampung atau negeri sebaliknya ia perlu diangkat ke peringkat lebih tinggi.

Menurut Najib, kerajaan pimpinannnya mempunyai agenda besar dan perancangan jelas dan jitu untuk Sabah dalam program transformasi kerajaan yang bertujuan untuk membawa keseimbangan pembangunan bandar dan luar bandar serta keadilan sosial kepada rakyat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain