suria

Empat Wanita Warga Asing Mangsa Pemerdagangan Seks Diselamatkan

GEORGE TOWN: Polis menyelamatkan empat wanita warga asing berumur antara 17 dan 26 tahun yang dipercayai mangsa pemerdagangan seks dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Anson, awal pagi Jumaat.

Ketua operasi dari cawangan D7 Bukit Aman, Superitendan Amir Rasid Derani berkata, operasi selama tiga jam berakhir pukul 3 pagi itu berjaya menyelamatkan tiga wanita Vietnam dan seorang wanita China yang memasuki negara ini secara sah.

Beliau berkata, bertindak atas risikan dan maklumat awam, polis mengesan satu sindiket pemerdagangan manusia bagi tujuan pelacuran yang bergiat aktif sejak beberapa minggu lepas di premis itu.

Katanya, sindiket itu dipercayai didalangi kumpulan kongsi gelap dan dalam serbuan itu, polis turut menemui sembilan butir peluru pistol yang belum digunakan selain 15 paket dadah jenis syabu, 30 pil khayal jenis eramin dan ectasy serta peralatan menghisap dadah.

"Beberapa wanita warga asing yang bekerja sebagai pegawai pelayan pelanggan (GRO) berjaya meloloskan diri melalui laluan rahsia di belakang premis selepas mengetahui kehadiran polis," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Amir Rasid berkata, polis menahan enam pekerja termasuk pengurus pusat hiburan itu, berumur lingkungan 20 hingga 40-an untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Katanya, mereka juga ditahan untuk siasatan di bawah Akta Senjata Api 1971 dan Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan membawa hukuman mandatori gantung sampai mati. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain