suria

Timbalan Ketua Polis K. Krai Maut Dalam Kemalangan

MACHANG: Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai Deputi Supritendan Abdul Wahab Yaacob dan dua lagi terbunuh dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan kenderaan pacuan empat roda di Km35, Jalan Kota Baharu-Kuala Krai di sini awal pagi Jumaat.

Abdul Wahab, 56, dan Sarjan Abd Kadir Kumin, 48, yang dalam perjalanan dari Kota Baharu ke Kuala Krai, maut di tempat kejadian apabila kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah pacuan empat roda dari arah bertentangan.

Kejadian kira-kira 1 pagi itu turut mengorbankan Membunga Mamat, 60, dari Rancangan Kemajuan Tanah Paloh 1, Gua Musang, manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki Membunga, Mohd Saari Asmawi, 36, dilaporkan dalam keadaan kritikal di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Baharu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata jenazah Abdul Wahab akan dihantar ke Kuala Lumpur untuk dikebumikan di Segambut hari ini. Allahyarham meninggalkan isteri dan empat anak. "Jenazah Abd Kadir pula akan dihantar ke Ulu Cheka, Jerantut sebelum dikebumikan di kampung halamannya itu," katanya melalui sistem pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama. Allahyarham Abd Kadir meninggalkan isteri dan enam anak. Lebih 30 anggota keluarga ketiga-tiga mangsa tidak dapat menahan kesedihan ketika ditemui di Hospital Machang semasa menunggu bedah siasat selesai.

Anak sulung Abd Kadir, Farid Ikhwan, 21, berkata beliau menerima panggilan kira-kira 2.30 pagi daripada seorang saudaranya mengenai kemalangan yang menimpa ayahnya yang baru sebulan bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai.

Sejurus menerima panggilan mengenai nahas yang menimpa bapanya, beliau yang tinggal di Kubang Kerian bergegas ke tempat kejadian.

"Kali terakhir saya bertemu dengan ayah ialah dua minggu lalu ketika ayah pulang bercuti," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain