suria

Polis Buru Dua Lelaki Berhubung Penemuan Dadah Di Kilang

PONTIAN: Polis Johor kini memburu dua lelaki berusia 20-an berhubung penemuan dadah ecstasy dan syabu bernilai keseluruhan RM17.5 juta di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Baru Pekan Nenas, di sini Isnin lalu.

Ketua Polis Johor DCP Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kedua-dua lelaki tempatan itu merupakan sebahagian daripada enam lelaki termasuk warga asing yang dipercayai terlibat dalam kegiatan memproses dadah di kilang berkenaan.

"Kita mahu agar kedua-dua lelaki ini menyerah diri bagi membantu siasatan. Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai mereka boleh menghubungi hotline polis Johor di 07-2212999," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian pada Jumaat.

Katanya polis kini sedang menyiasat sama ada dadah yang boleh digunakan seramai 350,150 orang itu adalah untuk pasaran tempatan atau antarabangsa.

Kegiatan makmal memproses dadah yang berselindung di sebalik kilang makanan sejuk beku itu terbongkar apabila ia terbakar kira-kira 1.30 petang Isnin lalu.

Polis yang dimaklumkan mengenai kejadian itu menemui 20.230 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM5 juta dan 249,000 biji pil ecstasy bernilai RM12.5 juta, selain beberapa alat dan bahan memproses dadah, tiga pucuk pistol serta kelopak, 14 butir peluru dan 20 kelongsong peluru.

Turut ditemui sebuah kereta Mercedes Benz dan sebuah kereta Honda Odyssey.

Seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun ditahan di Kulaijaya pada Rabu lalu bagi membantu siasatan dan telah direman empat hari bermula semalam.

Mohd Mokhtar mengesahkan lelaki itu tiada rekod jenayah dan ujian air kencing ke atasnya menunjukkan keputusan negatif. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 7 Akta Senjata Api 1971. Mengenai kes petinju negara, Muhamad Farkhan Mohd Haron yang dibelasah beberapa individu bulan lepas, Mohd Mokhtar berkata tiga kertas siasatan telah dikemukakan kepada pihak timbalan pendakwa raya pada 25 Mei lalu untuk tindakan selanjutnya. Katanya suspek utama telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Menyangkal dakwaan Muhamad Farkhan bahawa tiada tindakan diambil ke atas suspek tersebut Mohd Mokhtar berkata: "Tugas polis adalah menyiasat kes itu dan apabila kertas siasatan siap ia dikemukakan kepada pihak timbalan pendakwa raya untuk tindakan seterusnya".

Kata beliau sekiranya Muhamad Farkhan bimbang akan keselamatannya ataupun diugut beliau boleh menghubungi pihak polis untuk bantuan.

Muhamad Farkhan dan anggota Parlimen Puchong Gobind Singh Deo dalam satu persidangan media semalam mempersoal mengapa pihak polis belum mengambil tindakan ke atas individu yang terlibat dalam serangan tersebut. -BERNAMA

Artikel Lain