suria

Perkongsian Pintar Perkeso, Majikan Bantu Kurangkan Kemalangan

KUANTAN: Amalan perkongsian pintar antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan majikan dilihat boleh membantu mengurangkan kadar kemalangan pekerja semasa berulang-alik dari tempat kerja.

Pengarah Perkeso negeri, Mohd Shahar Ismail berkata menerusi program tersebut Perkeso dan majikan boleh menjemput agensi kerajaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjalankan kempen keselamatan jalan raya dalam kalangan pekerja.

"Pihak JPJ boleh memberikan ceramah keselamatan jalan raya kepada para pekerja dan ini sedikit sebanyak dapat menimbulkan kesedaran sekaligus membantu mengurangkan kadar kemalangan," katanya kepada pemberita selepas Program Advokasi Pencegahan Kemalangan Peringkat Perkeso Negeri Pahang di kilang WASCO Coating Malaysia Sdn Bhd, Gebeng di sini, Jumaat.

Mohd Shahar berkata menurut kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati 30 hingga 40 peratus kemalangan yang berlaku adalah disebabkan sikap pengguna jalan raya sendiri.

Katanya sehingga April lalu, sebanyak 8,434 kes kemalangan berlaku membabitkan pekerja semasa berulang alik ketika ke tempat kerja di seluruh negara.

Dalam majlis itu 30 topi keledar serta 30 vest keselamatan disampaikan kepada pekerja kilang berkenaan. -BERNAMA

Artikel Lain