suria

Pengurus Bank Diserang Penceroboh

SIBU: Pihak polis percaya seorang penceroboh telah membunuh pengurus cawangan sebuah bank asing di sini dalam pergelutan di bilik tidurnya ketika cubaan merompak di rumahnya di Ulu Sungai Merah, di sini kira-kira 1.30 pagi Khamis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu DSP Delly Beng berkata ini berdasarkan kenyataan yang diberi oleh balu si mati, Stephen Wong King Kui, 31.

Beliau berkata kepada pemberita selepas memberi taklimat kepada Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Datuk Sri Wong Soon Koh dan anggota Parlimen Lanang Datuk Tiong Thai King berhubung kes itu di ibu pejabat polis divisyen sini, Jumaat.

"Siasatan kami menunjukkan penceroboh memasuki rumah melalui pintu dapur yang tidak berkunci di tingkat bawah sebelum menuju ke bilik tidur di mana dia secara tidak sengaja bertemu mangsa, Stephen Wong King Kui, 31.

Pergelutan berlaku di dalam bilik yang tidak dinyalakan lampu. Isteri mangsa melihat penceroboh itu.

Katanya polis tiba di tempat kejadian sebelum 2 pagi selepas mendapat panggilan. "Kami telah memeriksa rumah dan kawasan sekitar taman perumahan itu tetapi gagal menemui apa-apa atau senjata yang digunakan. Tetapi kita mempunyai petunjuk dan akan jalankan siasatan," katanya.

Delly bagaimanapun menolak motif rompakan kerana siasatan menunjukkan tiada barang yang dilaporkan hilang dan menambah penceroboh datang menaiki motosikal melalui lorong belakang.

Katanya sebaik polis tiba, mangsa masih bernafas tetapi darah masih mengalir akibat kecederaan sekurang-kurangnya lima tikaman di bahagian kepala dan beliau meninggal tidak lama kemudian.

Soon Koh berkata beliau terima banyak panggilan daripada orang awam berhubung insiden itu yang melahirkan kebimbangan berhubung aspek keselamatan di bandar itu.

"Saya merayu kepada orang ramai agar tidak bimbang dan tidak membuat spekulasi tentang kes itu. Pihak polis bekerja keras dan mereka telah melakukan tugas dengan baik untuk menjaga keselamatan kita," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain