suria

Pakatan Rakyat Dedah Klip Video Dakwa Cubaan Beli Ahli Parlimen PKR

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat pada Khamis mendedahkan rakaman klip video yang mendakwa wujudnya tawaran membeli ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan nilai RM2 juta untuk melompat parti pada penghujung tahun lalu.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad mendakwa rakaman video daripada kamera litar tertutup (CCTV) itu mengandungi perbincangan antara lima individu di sebuah restoran di ibu negara.

Khalid mendakwa mereka terdiri daripada dua orang ejen pihak tertentu, dua wakil ahli parlimen Pakatan Rakyat dan seorang pemandu kepada ejen.

“Salah seorang daripada ejen ini ialah bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Zamil Ibrahim yang kini mengaku dirinya sebagai pemimpin Parti Kesejahteraan Tanah Air (Kita),” katanya kepada pemberita selepas tayangan video itu di pejabat Ketua Pembangkang di Bangunan Parlimen pada Khamis.

Menurutnya, rakaman yang didedahkan pada Khamis adalah sebahagian daripada rakaman penuh yang berlangsung sepanjang tiga jam.

"Video ini membuktikan bahawa pembelian ahli parlimen Pakatan Rakyat memang dijalankan oleh ejen-ejen ini.

"Sebelum ini kita tidak ada bukti, tapi sekarang kita ada bukti dan kita minta orang yang dinamakan (Zamil) memberi respons," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail juga turut mempersoal kemewahan yang diperolehi Zamil sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Zamil katanya kini tinggal di banglo mewah di Kelab Cinta Sayang di Sungai Petani dan memiliki beberapa kereta mewah.

Sedangkan kata Saifuddin, beliau hanya mengenali Zamil dengan latar belakang seorang penjual burger, dan isterinya hanya penjual alat kosmetik tradisional.

"Dengan latar belakang itu, tidak diketahui dia ada perniagaan yang dapat laba tinggi," katanya.

Justeru, Pakatan Rakyat menuntut Zamil tampil dan menafikan dakwaan tersebut bagi membuktikan beliau tidak terlibat dalam isu membeli Ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Artikel Lain