suria

Kastam KLIA Lumpuhkan Sindiket Dadah Lebih Setengah Juta Ringgit

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) berjaya melumpuhkan satu sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah dengan tertangkapnya seorang warga New Zealand dengan pelbagai jenis dadah seberat 15.72 kilogram bernilai RM658,800.

Pengarah Kastam KLIA Badaruddin Mohd Rafik berkata dadah itu termasuk jenis methamphetamin seberat 1.244 kilogram bernilai RM311,000, kokain 1.38 kilogram (RM277,600), ganja 12.13 kilogram (RM36,390) dan ketamin 966 gram (RM33,810).

"Bertindak atas maklumat orang awam, sepasukan Kastam Bahagian Penguatkuasaan KLIA dengan kerjasama Cawangan Risikan Ibu Pejabat Kastam membuat intipan dan risikan ke atas sebuah premis jenis kondominium mewah di Kuala Lumpur selama tiga hari sebelum serbuan dilakukan pada Isnin.

"Semasa serbuan dilakukan, terdapat seorang suspek lelaki warganegara New Zealand berusia 29 tahun menginap di premis tersebut dan siasatan awal mendapati suspek ini berada di Malaysia melebihi setahun dan masuk dengan menggunakan visa pelancong," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Badaruddin berkata suspek ditahan reman selama tujuh hari untuk tujuan siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, di mana jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori.

Dalam perkembangan lain, Badaruddin berkata sepanjang enam bulan tahun ini, sebanyak 32 tangkapan berjaya dilakukan melibatkan rampasan 132.22 kilogram dadah bernilai RM21.608 juta dan seramai 31 warga asing serta tiga warganegara Malaysia ditangkap. - BERNAMA

Artikel Lain