suria

DBKL Akan Senaraihitam Pesalah Trafik Liat Bayar Kompaun

KUALA LUMPUR: Bermula 1 Julai ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyenaraihitam nama pesalah lalu lintas yang masih liat membayar kompaun yang dikeluarkan kepada mereka oleh pihak berkuasa tempatan itu.

Ketua Pengarah DBKL Datuk Salleh Yusop berkata sepanjang tahun lepas, sebanyak 1,174,445 notis kompaun dikeluarkan kepada pemilik kenderaan atas pelbagai kesalahan lalu lintas manakala dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini sebanyak 310,966 notis kompaun dikeluarkan.

"Daripada itu hanya 15 peratus yang membayar kompaun. Jumlah ini menggambarkan sikap tidak bertanggungjawab kalangan mereka yang dikenakan kompaun dan yang memburukkan keadaan mereka akan mengulangi kesalahan yang sama," katanya kepada pemberita selepas menutup Bengkel Prosedur Senarai Hitam Ke Atas Kesalahan Lalulintas di sini, Jumaat.

Beliau berkata mereka yang enggan membayar kompaun perlu bersedia menerima implikasi jika disenaraihitamkan mengikut pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang diluluskan pada 20 Januari tahun lepas.

Salleh berharap dengan melaksanakan langkah itu akan memupuk kesedaran dalam kalangan pemilik kenderaan terhadap peraturan lalu lintas di bandar raya dan tidak mengabaikan kompaun yang dikeluarkan ke atas mereka.

Seramai 60 orang pegawai serta petugas DBKL yang akan terlibat dengan proses menyenarai hitam itu termasuk dari Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Undang-Undang dan Pendakwaan, Jabatan Pengurusan Maklumat dan Jabatan Kewangan. -BERNAMA

Artikel Lain