suria

Qasriena Irdina Bayi Ke-77 TAFF

SHAH ALAM: Qasriena Irdina, bayi perempuan tabung uji (IVF) ke-77 Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) yang selamat dilahirkan 4 Jun lepas, menerima kunjungan pengasas dan presiden seumur hidup yayasan itu, Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar, Khamis.

Bayi seberat 1.77kg itu, yang ditunggu selama 11 tahun oleh pasangan Mansor Mohd Salleh, 46, dan Paurizan Musa, 37, selamat dilahirkan di Hospital Pakar DEMC di sini.

Qasriena adalah adik kembar kepada bayi lelaki tabung uji, Qhaliff Arfan, yang kini diletakkan di dalam inkubator kerana tidak cukup bulan.

Pasangan itu, yang mendapat penajaan TAFF, berkata mereka berjaya memperoleh zuriat setelah menggunakan teknik persenyawaan tabung uji (IVF) buat kali pertama.

Tunku Azizah yang berangkat ke hospital itu kira-kira pukul 3 petang turut berkongsi kegembiraan dengan pasangan Mohadzir Abdul Rani, 38, dan isterinya Suriati Khalid, 37, yang mendapat anak sulung mereka menerusi kaedah tabung uji.

"Alhamdulillah, saya mendapat bayi pertama saya, Nurul Najdatul Naqiyyah dan ingin berterima kasih kepada Tunku Azizah kerana memberi peluang menyertai program TAFF," kata Suriati, yang bekerja sebagai operator di sebuah syarikat swasta.

Bayi perempuan itu dilahirkan pada 14 April lepas.

Sementara itu, Tunku Azizah dalam sidang akhbar kemudian berkata TAFF menjangkakan seramai 100 bayi tabung uji dilahirkan menjelang hujung tahun ini dengan bantuan yayasan itu yang ditubuhkan enam tahun lepas.

Menurut baginda, TAFF sedang menunggu kelahiran kembar tiga dalam masa terdekat.

Tunku Azizah berkata TAFF sehingga kini menerima 5,000 permohonan daripada pasangan yang tidak mempunyai zuriat untuk mendapatkan khidmat dan penajaan.

Selangor adalah negeri yang paling banyak memohon untuk mendapatkan khidmat yayasan itu. - BERNAMA

Artikel Lain