suria

Peruntukan RM10 Juta Di P.Pinang Untuk PRU13 - SPR

GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan peruntukan RM10 juta untuk negeri Pulau Pinang bagi pilihan raya umum ke-13 (PRU13), kata Timbalan Pengerusinya Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Beliau berkata peruntukan yang disediakan itu termasuklah bayaran elaun dan kemudahan bagi membolehkan para pegawai dan petugas pasukan penguatkuasaan kempen pilihan raya yang dibentuk di negeri ini dapat menjalankan tugas dengan berkesan.

"Peruntukan itu untuk melancarkan perjalanan PRU13 menerusi penyediaan pelbagai kemudahan kepada pasukan penguatkuasaan kempen di Pulau Pinang, ia termasuklah bayaran elaun kepada pegawai dan petugas," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat mengenai PRU13 kepada para petugas penguatkuasaan kempen pilihan raya di sini, Khamis.

Katanya setiap pasukan akan dianggotai oleh ketua pegawai penguatkuasa dibantu oleh pegawai polis berpangkat inspektor dan ke atas, pegawai dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding bagi sesuatu kawasan.

Katanya pasukan yang dilantik akan bertanggungjawab memastikan setiap calon bertanding tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menyebabkan kemarahan serta menyentuh sensitiviti budaya atau agama sesuatu kaum.

"Sekiranya ada kenyataan-kenyataan yang bercanggah dengan Seksyen 4A iaitu kesalahan mengembang perasaan jahat dan permusuhan, pasukan ini bertanggungjawab mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang ada," katanya.

Sempena PRU13 nanti, SPR akan menggunakan khidmat 22,000 pegawai dan petugas sepanjang tempoh PRU13 nanti dan sebanyak 303 pusat mengundi akan dibuka untuk 13 kawasan Parlimen dan 40 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang.

"SPR juga akan membuka 31 pusat mengundi lebih awal dari tarikh pengundian sebenar bagi membolehkan 8,000 pegawai dan anggota tentera dan polis yang mengundi pos," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain