suria

Pemilik Premis Barangan Lusuh, Tujuh Pekerja Didakwa Miliki Harta Curi

PETALING JAYA: Seorang pemilik premis barangan lusuh dan tujuh warga India mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas lima pertuduhan memiliki lima harta curi.

M.Sugapathy, 53, dan tujuh pekerjanya P.Thanikkodi, 27, P.Karupusamy, 24, S.Muthukrishnan, 32, P.Govindan, 35, K.Tamillarasu, 22, P.Sampath, 30, dan N.Sundaram, 25, didakwa bersama-sama memiliki empat enjin dan sebuah rangka kenderaan curi yang kesemuanya bernilai RM60,000 milik lima mangsa berlainan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Syarikat Prasath Recycle Sdn Bhd, No.19-1 Jalan Maju Jaya 1, Taman Maju Jaya, di sini, antara 2 dan 6 Jun lepas.

Bagi kelima-lima pertuduhan itu, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid membenarkan kelapan-lapan lelaki itu masing-masing diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 26 Julai untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi manakala kesemua tertuduh diwakili peguam S.Selvam. - BERNAMA

Artikel Lain