suria

Setiausaha Sulit Menteri Dapat Semula Wang Tiket AirAsia

PUTRAJAYA: Seorang setiausaha sulit menteri pada Rabu berjaya mendapat semula bayaran tiket penerbangan ke Medan, Indonesia bernilai RM646 sehala daripada syarikat penerbangan tambang murah Air Asia menerusi Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

ZoolIhsan Ahmad, 37, Setiausaha Sulit kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menuntut bayaran itu kerana penerbangan berkenaan ditunda pada 20 Mei lepas sehingga beliau tidak dapat menjalankan tugas rasmi di Medan.

"Pesawat sepatutnya berlepas pada pukul 1.40 petang. Tetapi pada 12.20 tengah hari saya menerima khidmat pesanan ringkas dari Air Asia yang memaklumkan penerbangan ditunda pada pukul 8.40 malam," katanya kepada pemberita selepas berjaya mendapatkan tuntutan itu di sini Rabu.

Beliau berkata, penerbangan pada pukul 8.40 malam juga ditunda dan hanya diketahui semasa beliau sudah mendaftar di kaunter "check-in" di LCCT.

Katanya, petugas di kaunter juga gagal mengesahkan waktu selanjutnya penerbangan berlepas dan hanya memberitahu tidak pasti sama ada 10.45 malam, 10.50 malam atau 11 malam.

"Mereka juga tidak beritahu sebab ia ditunda. Saya hubungi menteri sekali lagi dan beliau berkata tidak perlulah saya ke Medan kerana penerbangan sudah ditunda berkali-kali. Saya kemudiannya terpaksa balik ke rumah," kata beliau yang memfailkan tuntutan kepada TTPM pada 29 Mei.

Sementara itu, wakil bahagian undang-undang Air Asia berkata, pihaknya memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan memaklumkan penerbangan itu ditunda kerana menghadapi masalah teknikal.

Penyelesaian antara kedua belah pihak dicapai apabila Presiden TTPM Rehana, Abd Razak memerintahkan Air Asia membayar semula wang itu kepada mangsa dalam masa tujuh hari bermula esok.

Pada tahun ini sehingga 31 Mei, sebanyak 26 kes tuntutan dibuat di TTPM melibatkan Air Asia. - BERNAMA

Artikel Lain