suria

PM Terima Laporan Akhir PSC Lynas

KUALA LUMPUR: Laporan akhir berhubung projek kilang memproses nadir bumi Lynas Advance Materials Plant diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Bangunan Parlimen pada Rabu.

Laporan tersebut diserahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Lynas, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin secara tertutup di pejabat Perdana Menteri di bangunan Parlimen pada pukul 5 petang.

Pertemuan tersebut berlangsung tidak sampai 10 minit dan keputusan akhir mengenainya akan diumumkan Perdana Menteri dalam masa terdekat.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed dan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Pada Selasa, Perdana Menteri berkata kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan muktamad mengenai projek kilang memproses nadir bumi Lynas sehingga kerajaan benar-benar berpuas hati yang projek itu selamat.

Najib berkata ini bagi memastikan rakyat tidak berasakan yang perkara tidak diingini bakal menimpa mereka, termasuk untuk jangka masa panjang.

Laporan akhir dan syor-syor PSC Lynas akan dibentangkan di Parlimen pada 14 Jun sebelum dibahaskan pada 19 Jun.

April lalu, Dewan Rakyat meluluskan penubuhan PSC mengenai Projek Bahan Pendahuluan Lynas bagi mengkaji piawaian keselamatan projek tersebut dan juga isu-isu lain yang menjadi tumpuan perhatian orang ramai.

Artikel Lain