suria

Pelantikan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Perlu Ikut Perlembagaan - Anthony Loke

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memastikan pegawai pengurus pilihan raya yang dilantik mengikut Perlembagaan bagi mengelakkan berlakunya salah guna kuasa dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke Seiw Fook berkata, ini berikutan pindaan terhadap Peraturan 7 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya yang berkuasa pada 30 April lalu, secara tidak langsung memberi kuasa kepada pegawai pengurus untuk membatal mana-mana calon yang bertanding.

Menurutnya, walaupun terdapat beberapa peraturan yang harus dipatuhi oleh mereka, tapi dikhuatiri berlakunya salah guna kuasa.

"SPR telah memansuhkan tempoh bantahan pada hari penamaan calon dan tempoh penarikan balik pencalonan yang diputuskan dalam Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen bagi penambahbaikan sistem pilihan raya di negara ini.

"Ini memberikan ruang kepada pengurus pilihan raya membuat keputusan sama ada calon terbabit layak atau tidak untuk bertanding. Bagaimanapun keputusan yang dibuat oleh mereka harus mengikuti Perlembagaan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen pada Rabu.

Jawatankuasa Pilihan Khas ini bertanggungjawab mengkaji perkara yang mengkukuhkan SPR, dan mengkaji proses pilihan raya yang bebas dan adil.

Artikel Lain