suria

Kerajaan Sedia Benar Badan Pemantau Bebas Antarabangsa Pantau Pilihan Raya

KUALA LUMPUR: Malaysia sedia membenarkan badan pemantau antarabangsa walaupun mereka dijemput oleh pakatan pembangkang, kerana kerajaan komited untuk melakukan langkah penambahbaikan sistem pilihan raya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

"Kita sentiasa terbuka kepada siapa sahaja yang mahu memastikan sistem pilihan raya yang dilaksanakan di sini bebas dan adil.

"Kita menerima kehadiran mereka dengan hati yang terbuka kerana ini yang dimahukan oleh kerajaan,” katanya ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh).

Anwar meminta kerajaan memberi maklum balas terhadap cadangan yang terkandung dalam laporan yang dikeluarkan oleh International Fact-Finding Mission On Elections in Malaysia.

Nazri berkata, kumpulan berkenaan yang telah dijemput oleh Pakatan Rakyat ke Malaysia pada 26 April lalu telah bertemu dengannya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan wakil Umno untuk mengemukakan cadangan mengenai penambahbaikan sistem pilihan raya sedia ada.

Menurutnya, kumpulan berkenaan berhak mengemukakan cadangan beliau telah memberi jaminan bahawa kerajaan akan melaksanakan langkah penambahbaikan terhadap sistem pilihan raya sejajar dengan model Westminister yang diamalkan di negara ini.

Jawatankuasa pemantau tersebut terdiri daripada wakil bebas Senator Nick Xenophon dari Australia, karyawan Indonesia Nasir Tamara, Dean Amado Valdez dari Filipina, Clinton Fernandes dari University New South Wales dan Juliane Schmucker dari Jerman.

Artikel Lain