suria

Jersi Pelbagai Pasukan Euro 2012 Bernilai RM500,000 Dirampas

KUALA LUMPUR: Baru empat hari kejohanan bola sepak Euro 2012 berlangsung, pihak berkuasa merampas 10,000 helai jersi bola sepak pelbagai negara yang menyertai kejohanan itu, dianggar bernilai RM500,000 dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat, di Jalan Galian, Taman Miharja, Cheras, Selasa.

Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kuala Lumpur, Mohamed Mokhtar Yeop berkata serbuan pada 9.30 pagi itu dijalankan berasaskan maklumat terdapat pengedaran jersi tiruan, yang diimport dari China, di rumah dua tingkat terbabit dan pihaknya telah menjalankan risikan selama dua minggu sebelum melakukan serbuan.

Bagaimanapun, beliau berkata tiada tangkapan dibuat kerana pemilik jersi berkenaan tiada dan beliau telah menyewa di rumah itu untuk dijadikan stor penyimpanan selama satu tahun.

Katanya hanya keterangan diambil daripada dua lelaki iaitu penjaga stor, 28, dan adik pemilik perniagaan jersi itu, 30-an.

"Kita akan mencari pemilik perniagaan ini serta pemilik rumah itu dan akan siasat kes ini mengikut Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011. Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi sehelai jersi atau penjara tidak melebihi tiga tahun bagi kesalahan individu. Bagi syarikat pula, boleh didenda tidak melebihi RM15,000 untuk setiap helai jersi," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan itu.

Beliau berkata siasatan awal mendapati jersi yang dirampas akan diedarkan pada waktu petang untuk peniaga di pasar malam di Lembah Klang dengan harga borong RM10 sehelai dan dijual kepada pengguna antara RM40 dan RM50. - BERNAMA

Artikel Lain