suria

Warga Myanmar Ditemui Mati Dengan Beberapa Kesan Tikaman

BUTTERWORTH: Seorang lelaki warga Myanmar ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman dipercayai dibunuh tiga lelaki yang menyamar sebagai anggota polis di tapak pasar malam Taman Nagasari, di sini malam Isnin.

Kejadian itu berlaku pada 9.25 malam ketika mangsa Tunminhlat, 27, sedang berjalan kaki bersama rakannya di kawasan berkenaan sebelum dihampiri tiga lelaki yang menunggang motosikal.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Superitendan Azman Abd Lah berkata, tiga lelaki berkenaan memperkenalkan diri sebagai polis dan meminta wang daripada mereka.

Ketika dihubungi di sini pada Isnin, beliau berkata, mangsa dan rakannya dibawa menaiki motosikal tiga lelaki yang menyamar anggota polis itu ke satu kawasan gelap untuk berbincang.

"Rakannya yang mengesyaki sesuatu tidak kena bertindak melarikan diri dengan terjun daripada motosikal dan meninggalkan mangsa berseorangan bersama tiga lelaki berkenaan," katanya.

Azman berkata, mangsa yang enggan memberikan wang kepada tiga lelaki itu dipercayai dipukul dengan menggunakan benda tajam sebelum ditinggalkan di tepi jalan.

"Terdapat beberapa kesan tikaman di badan mangsa dan kepalanya juga berlumuran darah, mayatnya dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal juga mendapati lelaki itu baru dua bulan bekerja di Malaysia.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain