suria

Warga Emas Lemas Selepas Terjatuh Dalam Laut

GEORGE TOWN: Seorang lelaki warga emas ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam laut ketika berjalan di kaki lima tebing Jalan Green Hall berdekatan Padang Kota Lama, di sini malam Isnin.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Pantai Ismail Mohd Zain berkata pihaknya mendapat panggilan kecemasan pada 10 malam memaklumkan seorang lelaki terjatuh ke dalam laut.

Beliau berkata sepasukan sembilan pegawai dan dua anggota bersama dua jentera bergegas ke tempat kejadian dan mendapati mangsa, Yeoh Lai Heng, 60, sedang terapung dan cuba berenang ke tepi pantai.

"Dalam keadaan mangsa terkapai-pakai di permukaan laut, kita cuba menyelamatkannya. Bagaimanapun, keadaan ombak yang tiba-tiba kuat telah menghanyutkan warga emas itu ke tengah laut," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Ismail berkata pihaknya mengalami kesukaran untuk mencari mangsa ekoran keadaan laut yang berombak kuat.

Katanya mayat mangsa ditemui sejam kemudian tidak jauh daripada tempat kejadian dan mayat warga emas itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain