suria

Tiga Budak Lelaki Yang ‘Hilang’ Sebenarnya Pergi Berbasikal Ke Bandar Lain

SUNGAI SIPUT: Ketika ibu bapa yang begitu bimbang tentang 'kehilangan' anak-anak mereka dan meminta kerjasama orang ramai untuk menggerakkan usaha mencari kesemuanya, ketiga-tiga murid sekolah rendah berkenaan sebenarnya sedang bergembira berbasikal ke bandar lain sejauh 30 kilometer.

Ketiga-tiga budak lelaki yang berusia 12 tahun dijumpai selamat pada Ahad malam.

Mereka memberitahu ibu bapa mereka pada Sabtu bahawa mereka mahu menghadiri kelas tambahan di sekolah mereka, tetapi bagaimanapun tidak pulang ke rumah.

Ketiga-tiga mereka merupakan rakan baik iaitu P. Muganasundram dari Kampung Muhibbah Fasa 1, Nur Muhamad Nazir Hussein dan S. Vijay, masing-masing dari Taman Lintang, dijumpai sedang berbasikal di persimpangan lampu trafik di Rimba Panjang, kira-kira 4 kilometer dari sini pada pukul 8 malam Ahad oleh pasukan pertahanan awam.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superitendan Azman Salim berkata, ketiga-tiga mereka mengaku tidak menghadiri ke kelas tambahan yang dianjurkan oleh sekolah mereka untuk murid-murid Tahun Enam pada cuti sekolah.

Menurut Azman, kira-kira pukul 7 pagi Sabtu, selepas menipu ibu bapa mereka untuk pergi ke sekolah, ketiga-tiga murid tersebut berbasikal ke beberapa bandar seperti Chemor.

Mereka tidak pulang ke rumah pada malam itu, sehingga membuatkan ibu bapa masing-masing berasa bimbang.

Dalam satu temuramah dengan ketiga-tiga murid itu di rumah Vijay, mereka berkata, mereka telah berbasikal ke Ulu Chepor dan bermandi-manda di sebuah kawasan air terjun sebelum menuju ke sebuah pasar raya yang baru dibuka di Meru Raya untuk membeli-belah.

“Kami kemudiannya duduk di luar kiosk stesen minyak di Chepor dan berbual sehingga mengantuk. Kami kemudiannya ke bangunan kedai yang masih dalam pembinaan dan tidur di sana,” kata Vijay.

Nur Muhamad berkata, mereka kehabisan wang dan mengambil keputusan untuk pulang ke rumah di mana mereka kemudiannya dijumpai oleh pasukan pertahanan awam.

“Ini merupakan kali pertama kami berbasikal begitu jauh dari rumah, dan kami berjanji tidak akan berbuat seperti ini lagi,” tambahnya.

Ibu kepada Muganasundram, R. Mariamman, 34, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang berusaha untuk mencari ketiga-tiga murid itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain