suria

Pembekuan PTPTN Bukan Untuk Hukum Pelajar - Khaled Nordin

KUALA LUMPUR: Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan pembekuan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar baru Universiti Industri Selangor (Unisel), yang kini ditarik balik, bukan bertujuan membebankan penuntut institut pengajian tinggi itu.

Beliau berkata tindakan itu dilakukan sebagai respons kerajaan pusat terhadap perhimpunan haram yang dianjurkan pembangkang yang mendesak PTPT Ndihapuskan di ibu kota pada 14 April lepas.

"Kerajaan bukan nak seksa pelajar tetapi hanya ingin lihat kemampuan kerajaan negeri Selangor dalam melaksanakan pendidikan percuma dan ternyata mereka tidak mampu.

"Jika mereka (kerajaan negeri Selangor) dakwa mampu melaksanakan pendidikan percuma melalui kaedah mengapung aset (tanah) Unisel, ia adalah tidak logik sama sekali," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Kejuruteraan Dunia, Sains dan Teknologi 2012 (ESTCON), di sini, Selasa.

Pada 6 Jun lepas, Mohamed Khaled mengesahkan PTPTN membekukan pinjaman kepada pelajar baru Unisel bagi menentukan keupayaan kerajaan Selangor pimpinan PKR-DAP-PAS memberikan pendidikan percuma di negeri yang ditadbir mereka. Bagaimanapun, pembatalan pembekuan pinjaman itu ditarik balik pada 8 Jun lepas. Mohamed Khaled juga menegaskan bahawa cadangan pembekuan itu hanya melibatkan pelajar kemasukan semester baru pada April lalu dan tidak melibatkan penuntut yang masih mendapat pinjaman dan sedang mengikuti pengajian.

Mohamed Khaled turut menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan menjadikan isu pembekuan PTPTN sebagai alat politik untuk menghukum kerajaan negeri pimpinan pembangkang sehingga membebankan pelajar.

"Kerajaan tidak menjadikan PTPTN sebagai alat nak hukum sesiapa terutamanya pelajar setelah apa yang pembangkang terlebih dahulu hebahkan berhubung kemampuan mereka dalam memberikan pendidikan percuma. "Bila kerajaan lakukan pembekuan, kelam kabut (kerajaan negeri) nak apung aset itu ini padahal mereka langsung tidak mampu," katanya. Mohamed Khaled berkata faktor utama pembatalan pembekuan PTPTN itu dilakukan setelah mempertimbangkan rayuan daripada Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad yang memaklumkan bahawa pinjaman PTPTN amat diperlukan para penuntut Unisel dalam meneruskan pengajian.

"Kita batal pembekuan sebab terima respons melalui surat daripada pihak pentadbiran Unisel bukannya sebab dakwaan kerajaan takut lihat pembangkang mampu laksanakan pendidikan percuma.

"Rakyat perlu bijak menilai perbezaan tindakan kerajaan yang hanya melakukan pembekuan, itu pun sudah ditarik balik sedangkan pembangkang pula nekad untuk hapuskan PTPTN yang telah banyak memberikan peluang kepada pelajar yang kurang berkemampuan untuk meneruskan pengajian," kata Mohamed Khaled.

PTPTN membelanjakan RM3 juta kepada kira-kira 5,000 pelajar di Unisel untuk setiap pengambilan semester baru bagi menampung yuran pengajian dan kos sara hidup. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain