suria

Pekerja Kilang Mati Ditikam Di Tumpat

TUMPAT: Seorang pekerja kilang yang pulang bercuti di kampungnya sejak dua minggu lepas, mati ditikam di Kampung Belian, Palekbang, di sini malam Isnin.

Mohd Al-Serenadi Mat Rahim, 26, mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Tumpat. Terdapat satu kesan tikaman senjata tajam pada dada kiri mangsa, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman kepada pemberita di sini, Selasa.

Beliau berkata dalam kejadian pada pukul 9.15 malam itu, mangsa dikatakan ke tempat kejadian bersama lima rakan, termasuk seorang adiknya dengan menaiki tiga motosikal untuk mendapatkan penjelasan mengenai satu pergaduhan.

"Mangsa dikatakan cuba menemui suspek yang berada di rumahnya (rumah suspek) untuk mendapat penjelasan mengapa suspek menampar adiknya yang didakwa menunggang motosikal dalam keadaan laju," katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Mat Rahim Junoh, 58, ketika ditemui di rumahnya berkata Mohd Al-Serenadi yang merupakan anak ketiga dari lapan beradik itu pulang ke kampung itu bercuti sejak dua minggu lepas.

"Dia akan pulang ke tempat kerjanya semula di Kuala Lumpur dua hari lagi," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain