suria

Majlis Peguam Dikecam Kerana Ambil Pendekatan Partisan Kepada Pembangkang

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam terus dikecam hebat semasa perbahasan di Dewan Rakyat, pada Selasa kerana ia didakwa sering mengambil pendekatan berdiam diri yang partisan kepada pembangkang.

Menyifatkan badan guaman itu sebagai tidak konsisten dalam pendirian mereka, Datuk Zulkifli Noordin (Kulim Bandar Baru-BEBAS) berkata Majlis Peguam dilihat cepat mengeluarkan kenyataan mengutuk kerajaan sebaliknya hanya berdiam diri jika sesuatu isu itu melibatkan pembangkang.

Beliau menyarankan agar Majlis Peguam dibubarkan kerana majlis itu dilihat lebih gemar bermain politik dan tidak lagi mewakili kepentingan serta menjaga kebajikan peguam di negara ini.

"Semasa Bersih 3.0, mahkamah jelas nyatakan perhimpunan itu tidak boleh diadakan, terang-terang (penganjur perhimpunan) Datuk S. Ambiga langgar perintah mahkamah... Majlis Peguam patut nasihat Ambiga jangan buat tetapi mereka jadi 'syaitan bisu' hanya jadi pemerhati," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Profesion Undang-undang (Pindaan) 2012.

Zulkifli turut memberi contoh kes murtad Lina Joy dan Damansara Utama Methodist Church, Majlis Peguam mempertahankan tindakan pihak menyebarkan agama lain kepada orang Islam sedangkan tindakan itu nyata salah di sisi undang-undang.

Beliau berkata bagi memartabatkan khidmat guaman di negara ini, badan autonomi khidmat guaman di setiap negeri perlu ditubuhkan seperti di Sabah dan Sarawak yang tidak terikat dengan Majlis Peguam.

"Saya cadangkan Badan Peguam dikekalkan sebagai badan mengawal selia badan peguam di setiap negeri, namun keahlian kepada Badan Peguam tidak diwajibkan. Setiap peguam berhak memilih jadi anggota badan peguam negeri mana mereka pilih dan tawarkan khidmat guaman mereka.

"Saya juga mencadangkan lebih elok dipecahkan antara peguam bela dan peguam cara, peguam pilih salah satu. Ini juga mampu martabatkan profesion peguam di negara kita," katanya.

Zulkifli berkata bagi peguam asing yang mahu menawarkan khidmat di negara ini, perlu ada satu mekanisme perkongsian pintar supaya peguam tempatan memperolehi kepakaran daripada peguam asing. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain