suria

Lori Bawa Muatan Pasir Hilang Kawalan Rempuh Pagar Rumah

SEREMBAN: Sebuah lori seberat tiga tan bermuatan pasir merempuh pagar sebuah rumah selepas dipercayai hilang kawalan dalam kejadian di Taman Bukit Kepayang, di sini, Selasa.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, lori tersebut yang datang dari arah sebuah tapak projek pembinaan di atas bukit berhampiran taman berkenaan, dikatakan hilang kawalan ketika menuruni bukit tersebut sebelum melanggar sebuah jentolak dan pagar rumah tersebut.

Pemilik rumah tersebut, S. Nalini, 43, berkata ketika kejadian dia sekeluarga tiada di rumah dan hanya mengetahui mengenai insiden itu apabila menerima panggilan daripada jirannya.

Nalini yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mewah di sini, berkata beliau bergegas pulang dan mendapati sebuah lori membawa muatan pasir tersadai di tepi rumah manakala sebahagian pagar rumahnya runtuh.

"Ketika kejadian hanya pembantu rumah yang berada di rumah manakala anak-anak saya pergi ke sekolah. Mujur anak-anak ke sekolah kerana kebiasaannya pada hari cuti dan hujung minggu, mereka bermain di ruang tepi rumah," katanya.

Sementara itu, pemandu jentolak, S. Paramasivam, 37, berkata ketika kejadian dia sedang memandu jentolak berkenaan menghala ke tapak projek tersebut.

"Sebaik menghampiri bukit itu, sebuah lori membawa pasir yang sedang menuruni bukit secara tiba-tiba meluncur laju dan melanggar bahagian hadapan jentolak.

"Lori itu terus bergerak dan kemudian melanggar pagar rumah. Mujur ada tiang elektrik yang menghalang daripada terus bergerak, jika tidak, pasti sebuah rumah lagi akan terlibat," katanya.

Pemandu lori tersebut, yang identitinya tidak dapat dikenal pasti, bagaimanapun terselamat dalam kejadian itu tanpa sebarang kecederaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain