suria

Lelaki Tempatan, Dua Wanita Asing Ditahan Disyaki Pengedar Dadah

ALOR SETAR: Seorang lelaki tempatan dan dua wanita asing ditahan di sebuah rumah di kawasan perumahan di Jalan Kuala Kedah dekat sini kerana dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah.

Dalam operasi yang dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah kira-kira 1.30 tengah hari semalam, polis merampas 1,175.91 gram heroin dan 2.04 gram syabu yang dianggarkan bernilai RM44,100 daripada mereka.

Ketua JSJN Kedah Supt Abd Razak Md Zin berkata mereka yang ditahan ialah seorang lelaki berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang berusia 41 tahun, wanita Thailand berumur 39 tahun manakala seorang lagi wanita asing tidak mempunyai dokumen pengenalan diri berumur 30 tahun, dipercayai warga Myanmar.

"Pihak kami turut menyita sebuah kereta jenis Proton Perdana, wang tunai RM7,000, sejumlah mata wang asing, alat penimbang dan peralatan membungkus dadah," katanya semasa sidang media di IPK di sini, Selasa.

Beliau berkata suspek dipercayai telah menjalankan aktiviti membungkus dan mengedar dadah di rumah itu sejak sebulan kerana rumah teres setingkat tersebut telah disewa oleh suspek sejak sebulan lalu.

"Kita juga akan menyiasat sama ada semua suspek menjalani aktiviti itu di tempat lain. Kita juga percaya semua dadah itu akan diedarkan di sekitar bandar Alor Setar," kata Abd Razak.

Abd. Razak berkata hasil ujian air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah dan menurutnya mereka ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain