suria

Lajim Ukin Nafi Lompat Parti

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin menafikan laporan portal berita kononnya beliau akan melompat parti meninggalkan Umno dan menyertai barisan pembangkang di Sabah.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Beaufort itu mengakui pernah mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin pembangkang di Sabah.

Sambil menyifatkan dakwaan itu hanya spekulasi, Lajim yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno bagaimanapun menjelaskan pertemuan berkenaan sekadar bagi membincangkan mengenai masalah rakyat di negeri itu.

"Saya bercakap begitu (berjumpa dengan pemimpin lain di Sabah) supaya ada penambahbaikan, ada jaminan dan ada perubahan dari segi kepimpinan di peringkat negeri dari segi pendekatan dan harapan rakyat sebelum pilihanraya umum ke-13 ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Isnin.

Lajim berkata demikian bagi mengulas mengenai laporan portal berita yang mengatakan bahawa beliau dan Timbalan Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Wilfred Bumburing akan menyertai majlis anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), sekaligus menyertai pembangkang.

Jelas beliau, spekulasi itu juga mungkin timbul ekoran kelantangannya menyuarakan permasalahan rakyat Sabah.

"Saya tidak pernah beritahu saya akan tinggalkan Barisan Nasional. Ini (berita tersebut) cuma andaian kerana apabila saya bercakap seolah-olah macam pembangkang.

"Saya hanya bawa suara orang Sabah. Rakyat Sabah mahukan penambahbaikan," katanya.

Mengulas lanjut Lajim berkata, tindakannya yang lantang bersuara tidak semestinya menggambarkan beliau mahu meninggalkan Umno dan BN.

Namun ditanya sama ada jawapannya itu muktamad, Lajim seolah-olah berteka-teki apabila menegaskan ianya belum muktamad.

"Dalam politik macam-macam boleh jadi," katanya.

Mengulas mengenai pertemuannya dengan pemimpin pembangkang Lajim berkata melalui perbincangan seumpama itu pelbagai perkara penting berkaitan masalah dan kebajikan rakyat Sabah dapat diketahui.

"Rakyat meletakkan harapan yang besar kepada kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan dalam menangani apa juga masalah dihadapi mereka contohnya di peringkat saya seperti masalah air dan banjir yang tidak sudah-sudah dialami rakyat...ini semua saya suarakan demi rakyat," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain