suria

K'jaan S'gor Bertegas Urus Air Sendiri

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor sekali lagi menegaskan bahawa penyusunan semula industri air di negeri itu adalah langkah terbaik dalam menangani isu berkenaan yang dianggap kritikal oleh pelbagai pihak.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri berpendapat Projek Air Langat 2 bukanlah jalan penyelesaian terbaik kerana isu kos dan bimbang ia nanti akhirnya akan ditanggung oleh pengguna.

“Kami tetap dengan pendirian bahawa penyusunan semula dan menyerahkan semula pengurusan industri air kepada kerajaan negeri adalah langkah terbaik untuk menyelesaikan isu ini dan kami bercadang untuk duduk berbincang sekali lagi dengan Kerajaan Pusat mengenai langkah ini.

"Dan saya telahpun bercakap banyak kali bahawa isunya di sini ialah berhubung soal loji rawatan air yang tidak diuruskan dengan sempurna. Ini adalah indikasi yang jelas bahawa tidak semua projek penswastaan pilihan terbaik dalam menyelesaikan sesuatu isu," katanya kepada pemberita selepas forum mengenai industri air di sini pada Selasa.

Khalid juga berkata, sementara isu berkaitan dengan pengurusan air di Lembah Klang masih lagi menjadi perdebatan antara kerajaan pusat dan negeri, Selangor kini sedang melihat kemungkinan memperolehinya daripada sumber lain seperti punca air bawah tanah.

“Negara seperti Switzerland dan Denmark bergantung kepada punca air bawah tanah untuk menyalurkan bekalan air mentahnya tetapi perkara ini juga memerlukan pandangan semua pihak kerana terdapat badan bukan kerajaan yang menentang idea ini," kata beliau.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain