suria

Kertas Siasatan Kes Mohammad Nizar Dikemuka Kepada TPR Dalam Masa Terdekat

JOHOR BAHARU: Polis Johor akan mengemukakan kertas siasatan mengenai kenyataan bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata siasatan terhadap kenyataan Mohammad Nizar menerusi Twitter mengenai bidaan nombor pendaftaran kenderaan WWW 1 oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim itu hampir selesai.

Polis telah menerima 46 laporan daripada pelbagai pihak, kata Mohd Mokhtar kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, Selasa.

Mohammad Nizar yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang itu mempersoalkan bidaan nombor pendaftaran itu dengan bayaran RM520,000.

Dua pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Baharu Utara telah mengambil keterangan Mohammad Nizar di Pejabat PAS Perak, di Ipoh pada 6 Jun lepas, dalam menjalankan siasatan mengikut Akta Hasutan.

Dalam perkembangan lain, Mohd Mokhtar berkata pihaknya sedang menjalankan pemantauan sejak dua minggu lepas ke atas dua kumpulan kecil yang dipercayai melakukan kegiatan perjudian sempena kejohanan bola sepak EURO 2012.

Beliau berkata kedua-dua kumpulan berkenaan berpindah dari satu premis ke satu premis lain bagi mengelakkan pihak berkuasa menghidu kegiatan mereka.

"Difahamkan kegiatan perjudian secara talian (online) itu kemungkinan berlaku dengan sindiket judi yang beroperasi di luar negara dengan alat 'server' yang digunakan dipercayai berada di luar negara," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain