suria

Hanya Makanan Berkhasiat Akan Dihidangkan Kepada Penjawat Awam

KUALA LUMPUR: Kepak ayam goreng dan kuih laden yang diperbuat daripada santan kelapa sering menjadi hidangan utama ketika minum petang atau mesyuarat di pejabat kerajaan.

Bagaimanapun, menu ini mungkin tidak lagi dihidangkan kepada penjawat awam apabila kerajaan mula mengambil langkah proaktif untuk memantau apa yang dimakan oleh 1.4 juta kakitangannya agar mereka mengambil makanan yang berkhasiat.

Jabatan Perkhidmatan Awam telah mengeluarkan pekeliling kepada semua penjawat awam panduan dalam mengamalkan gaya hidup sihat.

Dalam pekeliling yang diedarkan Februari lalu, menggariskan dua aspek utama yang perlu ada dalam menu yang dihidangkan ketika mesyuarat dan makanan sihat yang dijual daripada mesin menjual makanan atau minuman.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kementeriannya akan mula melaksanakan perkara tersebut dengan sokongan Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam dan ketua setiausaha semua kementerian.

"Kami berharap dengan garis panduan berkaitan menu makanan seimbang ini akan turut digunapakai di semua sektor awam yang lain," katanya ketika merasmikan mesyuarat serantau Pertubuhan Kesihatan Kebangsaan untuk mencegah penyakit berjangkit dan kawalan vektor di sini, Isnin.

Liow berkata garis panduan yang disediakan itu tidak bermaksud semua juadah yang sering disediakan sebelum ini langsung tidak boleh dimakan oleh kakitangan kerajaan sebaliknya ia hanya satu peringatan kepada mereka menu makanan yang berkhasiat yang perlu disediakan.

"Dalam garis panduan tersebut juga mengingatkan anda supaya mengurangkan pengambilan gula, garam dan trans lemak dalam penyedian makanan

"Kami cuba untuk memberikan makanan yang berkhasiat kepada kakitangan awam sebaik mungkin," katanya.

Timbalan Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata garis paduan yang dikeluarkan tidak memperincikan menu makanan tertentu yang perlu disediakan.

"Seboleh-bolehnya kita mahu memastikan semua jabatan melabelkan makanan yang disediakan serta jumlah kalori makanan tersebut.

"Anda perlu tahu apa yang anda makan,” katanya Pengambilan harian yang disarankan untuk seorang yang banyak duduk ialah antara 2,000 hingga 2,500 kalori.

Liow berkata garis panduan tersebut juga mampu mengawal peningkatan bilangan penyakit tidak berjangkit yang dilaporkan meragut nyawa 35 juta orang setahun di seluruh dunia.

Di Malaysia, satu daripada lima orang dewasa menghidap kencing manis dengan 2.6 juta kes dilaporkan tahun lepas.

Sementara itu, Pengarah Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Pacifik Barat, Dr Shing Young-soo memuji kerajaan Malaysia yang mempunyai pelbagai dasar untuk mengawal penyakit dan amalan penjagaan kesihatan yang baik.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain