suria

Bersih 3.0: Pemimpin Pembangkang Hadapi Risiko Jika Terbukti Langgar Undang-undang

KUALA LUMPUR: Tindakan tegas akan diambil terhadap semua pihak termasuk pemimpin pembangkang yang didapati melanggar undang-undang membabitkan perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata ia selaras dengan fungsi Panel Penasihat Bebas yang ditubuhkan bagi menyiasat insiden Bersih 3.0 itu iaitu bagi mencari 'kebenaran yang sebenar'.

"Panel bebas yang kita ditubuhkan adalah untuk mencari kebenaran yang sebenar.

"Jadi menerusi maklumat dan bukti yang diperolehi dalam siasatan ini...kalau ada bukti kita akan ambil tindakan yang sewajarnya," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Lilah Yassin (BN-Jempol) yang ingin mengetahui sama ada polis akan mendakwa pemimpin pembangkang di bawah Akta Hasutan yang didapati menjadi dalang menghasut rakyat menyertai perhimpunan Bersih 3.0 yang berakhir dengan insiden rusuhan.

"Polis telah mengumpulkan bukti-bukti bahawa pembangkang menghasut rakyat. Saya nak tanya kepada kerajaan melalui bukti-bukti yang dikumpulkan...adakah kerajaan akan mendakwa parti pembangkang di bawah Akta Hasutan kerana jelas mereka menghasut rakyat.

"Adakah pihak polis akan heret ketua-ketua parti pembangkang yang telah menghasut rakyat," soalnya.

Pertanyaannya menerusi soalan tambahan ketiga pada sesi soal jawab lisan itu bagaimanapun menimbulkan kemarahan wakil rakyat pembangkang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain