suria

Warga China Ditemui Mati Lemas Di Lombong

KAMPAR: Seorang wanita warga China ditemui mati lemas selepas terjatuh ke dalam lombong di Kampung Changkat Baru, Malim Nawar.

Ketua Polis Daerah Kampar, Supt Abdul Aziz Salleh berkata mayat Yang Shuqin, 34, ditemui di dasar lombong berkenaan oleh unit penyelam bomba dan penyelamat pada pukul 10.20 pagi tadi.

Mangsa dikatakan menemani dua rakan lelakinya ke lombong berkenaan yang terletak satu kilometer dari rumah sewanya pada 6 petang semalam untuk memancing.

"Mangsa hendak membasuh muka di tepi lombong apabila tergelincir lalu tenggelam. Dua rakannya cuba membantu tetapi gagal lalu mereka menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan," kata Abdul Aziz kepada pemberita.

Beliau berkata polis dengan bantuan bomba dan penyelamat kemudiannya mengadakan operasi mencari sehingga tengah malam tadi tetapi gagal menemui mangsa sehingga dimulakan semula pada 8 pagi tadi dan menemui mayat mangsa di dalam lombong itu sedalam kira-kira 12 meter.

Mayat dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat. - BERNAMA

Artikel Lain