suria

Kerajaan Tiada Hasrat Tubuh IPCMC - Nazri

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang mengkaji semula penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bagi menyiasat sebarang salah laku yang boleh menjejaskan imej polis dan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, rakyat kini boleh menyalurkan sebarang aduan berkaitan tindakan anggota agensi penguatkuasa kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan yang ditubuhkan pada April tahun lalu bagi menyiasat salah laku anggota penguatkuasaan di negara ini.

"Kerajaan tidak bercadang untuk mengkaji semula tentang pembentukan IPCMC kerana kita sudah pun ada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan di mana apa jua aduan yang hendak dibuat oleh rakyat terhadap tindakan yang telah diambil oleh mana-mana agensi penguatkuasa termasuk polis boleh dihalakan kepada mereka," katanya pada sesi soal jawab lisan persidangan Dewan Rakyat di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) yang bertanya sama ada kerajaan bercadang mengkaji semula kedudukan IPCMC dan menubuhkan suruhanjaya lebih bebas bagi meningkatkan integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama melibatkan siasatan terhadap dakwaan salah laku anggota pasukan itu pada perhimpunan Bersih 3.0.

Terdahulu ketika menjawab soalan asal yang diajukan Anwar mengenai tindakan terhadap anggota polis yang bertindak kasar kepada wartawan serta orang awam ketika perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu, Mohamed Nazri berkata hasil penelitian rakaman video dan siasatan dijalankan, dua anggota polis telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 28 Mei lepas.

Menurut beliau kedua-dua anggota polis berkenaan dituduh di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan iaitu menggunakan kekerasan terhadap seorang jurugambar Guanming Daily pada perhimpunan Bersih 3.0.

Kes berkenaan akan disebut semula pada 18 Jun ini.

Malah Mohamed Nazri memberi jaminan bahawa pihak Jabatan Peguam Negara masih terus meneliti rakaman video yang dikumpul bagi mengesan sekiranya terdapat anggota polis lain yang melakukan kekerasan semasa perhimpunan tersebut.

"Sekiranya siasatan menunjukkan adanya keterangan yang kukuh mengenai kekerasan yang dilakukan oleh mana-mana anggota polis, Jabatan Peguam Negara akan mengemukakan pertuduhan di mahkamah dan tidak akan melindungi mana-mana pihak daripada dikenakan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang," katanya.

Menjawab soalan tambahan lain oleh Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) yang ingin mengetahui mengenai tindakan kerajaan terhadap mereka yang terlibat mencetuskan kekecohan semasa perhimpunan Bersih 3.0, Nazri berkata pejabat Peguam Negara memberi jaminan akan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat.

"Kami tidak mengira warna, tak kira sesiapa yang langgar undang-undang...malah kalau ada bukti kukuh kita akan bawa Permatang Pauh (Anwar) dan Gombak (Mohamed Azmin Ali) ke mahkamah," katanya.

Artikel Lain