suria

KDRM Johor Rampas 10.6 Juta Batang Rokok Putih Selepas Tahan Tiga Lori

JOHOR BAHARU: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Johor merampas 10.6 juta batang rokok putih bernilai RM5.8 juta termasuk cukai yang cuba diseludup masuk ke negara ini selepas menahan tiga lori secara berasingan di Tambak Johor dan Bangunan Sultan Iskandar, di sini Jumaat lepas.

Pengarah Kastam Johor Datuk Ramli Johari berkata penahanan dilakukan selepas pihaknya bertindak daripada maklumat orang awam dan tiga pemandu lori berserta seorang kelindan kini ditahan reman bagi membantu siasatan.

"Dalam penahanan pertama ke atas sebuah lori locked-van yang sedang berhenti di tengah-tengah Tambak Johor pada 11.30 pagi itu, Kastam Johor merampas 5.5 juta batang rokok putih pelbagai jenama bernilai RM275,000 dan cukai dianggarkan RM2.72 juta," katanya kepada pemberita di Menara Kastam, di sini, Isnin.

Beliau berkata lori yang membawa masuk rokok jenama Luffman, Canyon Menthol, John Grey dan John Black itu dipandu seorang lelaki berumur 43 tahun dan dia gagal mengemukakan sebarang dokumen apabila diminta oleh anggota kastam.

Menurut Ramli, dalam penahanan kedua di lokasi dan waktu yang sama, pihaknya merampas 2.1 juta batang rokok putih jenama John dianggarkan bernilai RM105,000 dengan cukai RM1.04 juta yang cuba diseludup masuk menggunakan sebuah lori kanvas.

Katanya lori itu berada di kedudukan berhampiran dengan lori pertama yang ditahan dan pemandunya yang berumur 22 tahun turut gagal mengemukakan sebarang dokumen apabila diminta anggota kastam.

"Penahanan ketiga pula dilakukan pada 2 petang selepas anggota kastam menahan sebuah lori locked-van di laluan pintu keluar import, Unit Kawalan Risiko, Bangunan Sultan Iskandar. Lori itu dipandu seorang lelaki berumur 44 tahun bersama kelindan berumur 43 tahun," katanya.

Ramli berkata pemeriksaan ke atas lori itu menemui 2 juta batang rokok putih jenama Modeng dan 1 juta batang rokok putih jenama Romantis yang dianggarkan bernilai RM150,000 dan cukai RM1.48 juta.

Beliau berkata ketiga-tiga kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. - BERNAMA

Artikel Lain